LaparPo
Bantu Pinjamkan RM18 Ribu, Pemilik Farm Fresh Sebak Rakan Cina Capai RM25 Juta Setahun
Inspirasi
Azmi Zainal

Pemilik Farm Fresh, Azmi Zainal mencuri perhatian ramai pengguna media sosial sejak semalam bila berkongsikan kisah rakannya yang berbangsa Cina yang meraih pendapatan RM25 juta setahun.

Azmi menceritakan kisah rakannya iaitu seorang wanita Cina bernama Sofea. Kedua-duanya sudah lama mengenali sejak tahun 2010 lagi.

Walaupun Sofea kemudiannya bekerja di tempat lain, hubungan persahabatan yang terjalin terus terpelihara. Kemudian pada 2020, wanita itu menghubungi Azmi dan bertanya sama ada dia boleh mengusahakan perniagaan kecil-kecilan bersama Farm Fresh.

Ini selepas dia dan suaminya, Ah Siang kehilangan mata pencarian susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik Covid-19.

Sofea kehilangan pekerjaan pada ketika itu dengan perniagaan cuci kereta yang diusahakan suaminya pula tidak dapat diteruskan.

Pada ketika itulah, beliau menawarkan Sofea untuk menjadi stokis Farm Fresh. Walaupun dia mendedahkan tidak mempunyai duit untuk memulakan perniagaan, Azmi memintanya tidak bimbang.

Selepas mendapat maklumat akaun bank daripada wanita tersebut, beliau kemudiannya memberi pinjaman sebanyak RM18,000 bagi menampung kos termasuk sewa kedai.

Setahun selepas itu, perniagaan Sofea dan suaminya semakin berkembang. Bagaimanapun, mereka memerlukan modal sebanyak RM40,000 untuk menukar kedai mereka sebagai gudang.

Kedua-duanya berusaha mendapatkan pinjaman daripada bank untuk merealisasikan usaha itu tetapi gagal. Lantas, Azmi sekali lagi tampil membantu dan menyediakan RM40,000 untuk membantu usaha mereka.

Atas bantuan yang dihulur beliau, perniagaan pasangan suami isteri itu kini meraih pendapatan sebanyak RM25 juta setahun.

Bagi Azmi, ini menunjukkan perniagaan bukan sekadar berkisar kepada untung dan rugi semata-mata. Malah, ini juga peluang untuk membantu orang lain dan memperkukuh jalinan persahabatan sesama manusia tanpa mengira perbezaan kaum mahupun agama.

“Bagi aku, bisnes bukan setakat untung atau rugi. Dalam bisnes pun kena ada persahabatan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Hantaran ini telah mendapat 4,300 suka di Facebook dan dikongsikan sebanyak 636 kali. Ramai pengguna Facebook memuji keluhuran budi Azmi kerana membantu tanpa mengira perbezaan.

Malah, ramai percaya sikap Azmi patut dicontohi ramai peniaga di luar sana.