LaparPo
Ambil Duit Dari Pelancong Asing, Anggota Polis Dipindahkan Kerja
Berita
PDRM

Susulan kes tiga polis trafik mengambil wang RM100 daripada pasangan pelancong asing baru-baru ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan tegas.

Akhbar Harian Metro melaporkan ketiga-tiga anggota polis berkenaan kini sudah dikenakan perintah tahan kerja. Perkara ini didedahkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Selain itu, kertas siasatan membabitkan ketiga-tiga anggota polis itu turut diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

“Kini, terserah kepada keputusan Peguam Negara berhubung keputusan mengenainya (sama ada diteruskan dengan pendakwaan).

“Setakat ini mereka sudah ditahan kerja,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Penutupan Ujian Mara Lasak Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Tahun 2024 hari ini.

Sebelum ini, tiga anggota polis berkenaan tular di media sosial selepas meminta RM100 daripada pasangan pelancong terbabit bagi menyelesaikan saman trafik mereka.

Lantaran itu, identiti ketiga-tiga anggota polis itu dikenalpasti dengan mereka dikenakan tahanan reman selama tiga hari pada 30 Januari lalu.

Ketiga-tiganya disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan, Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.