LaparPo
4 Port Nasi Kandar Paling Sedap Di Alor Setar
Berita
Nasi Kandar Danial-Tandop

Kalau sebut mengenai nasi kandar, pasti fikiran akan terus melayang ke negeri Pulau Pinang. Namun jika berkunjung ke Alor Setar, kalian tidak perlu berfikir bagaimana caranya mendapatkan nasi kandar kerana, terdapat banyak restoran nasi kandar di Alor Setar.

Satu undian telah dibuat di laman Facebook, Nasi Kandaq Hunters untuk mendapatkan nasi kandar yang tersedap dan menjadi pilihan warga Alor Setar dan sekitarnya.

Selepas undian dibuka untuk beberapa minggu, empat lokasi nasi kandar ‘surr’ di Alor Setar telah dikenal pasti.

Pilihan pertama: Nasi Kandar Yasmeen

Nasi Kandar Yasmeen mendahului undian iaitu sebanyak 36 peratus. Difahamkan, campuran kuah di sini ‘surr’ ditambah dengan ayam goreng rangup yang menjadi kegilaan penggemar nasi kandar.

Lokasi Nasi Kandar Yasmeen di Alor Setar adalah di Jalan Stadium yang mana ianya berhampiran dengan Stadium Darul Aman. Restoran ini sentiasa dipenuhi pengunjung ketika hari perlawanan bola sepak melibatkan pasukan Kedah.

Pilihan kedua: Nasi Lemak Royale

Bandaraya Alor Setar sangat sinonim dengan Nasi Lemak Royale (Nasi Royale). Melalui kiraan undian, nasi royale menjadi pilihan kedua warga Alor Setar dengan 20 peratus undian.

Sukar untuk memilih kedai nasi royale mana yang perlu dituju kerana di Alor Setar, terdapat banyak cawangan nasi royale. Jika waktu tengahari, kalian boleh berkunjung ke Restoran SMR yang terletak berhadapan Pekan Rabu.

Manakala pada waktu malam, kebiasaannya, ada dua lokasi nasi royale yang menjadi tumpuan iaitu Nasi Lemak Royale Jalil (bersebelahan Petronas) di Lebuhraya Sultan Abdul Halim dan Nasi Royale di tapak lama yang terletak 500 meter dari Nasi Lemak Royale Jalil.

Pilihan ketiga: Nasi Lemak Haji Ali

Nasi Lemak Haji Ali mendapat undian ketiga tertinggi iaitu sebanyak 11 peratus undian. Boleh dikategorikan legend kerana mula berniaga sejak 1958 lagi.

Lokasi Nasi Lemak Haji Ali adalah di Jalan Seberang Perak, betul-betul berada di hadapan lampu isyarat Persiaran Sultan Abdul Halim.

Pilihan keempat: Nasi Kandar Danial

Nasi Kandar Danial mendapat undian keempat tertinggi di Facebook Nasi Kandaq Hunters iaitu sebanyak 8 peratus. Campuran kuah yang ‘surr’ dan ayam goreng panas menjadi kegilaan warga Alor Setar.

Lokasi Nasi Kandar Danial ialah terletak di Tandop, Alor Setar. Walaupun hanya berniaga di tepi jalan, namun tahap kesedapan nasi kandar ini sememangnya surr!

Penutup

Keempat-empat nasi kandar ini adalah dipilih menerusi undian di laman Facebook. Ianya mungkin menjadi pilihan segelintir warga Alor Setar namun citarasa setiap individu itu tidak sama. Yang pasti nasi kandar di Alor Setar juga tidak kurang hebatnya.